Tuesday, May 26, 2009

May 2009 - Redang oh Redang

Sebenarnya kami tidak pernah merancang semua ini. Pada awalnya, kami hanya ingin bercuti di mana-mana pulau di pantai timur. Ianya berubah setelah saya menerima SMS dari Nida tentang perubahan plan kami. Kami akan mengambil lesen menyelam. Wow!! bestnya.

Sebelum bermula segalanya, kami sibuk dengan practical training di Kolam Renang Cheras. "Prelude Concert" kata saya. Kami disarankan agar bersedia secukupnya sebelum menjalani ujian demi ujian sebenar bila tiba di Redang nanti.

Dari awal kami merancang mengambil lesen di Tioman saja. Saat-saat akhir, venue berubah ke Redang. Cool!!!. Saya tidak pernah menjejak ke Redang. Tioman, pernah la dulu kira-kira 10 tahun yang lalu.

Segalanya sudah tersedia. Zita pertama kali ditugaskan menjadi planner dalam percutian aka pengembaraan kami.

Dan hari ini, bermulanya pengembaraan kami.

Saya, Nida dan Zita sedang menanti Misya di stesen LRT Putra. Misya bergerak terus dari pejabat menuju ke tempat pertemuan kami. Kami berempat berkumpul di sekitar jam 9.30pm. Memandangkan bas akan bertolak pada jam 11.00pm, kami bercadang untuk makan malam dahulu. Maka, kelihatan 4 orang anak muda (muda ke??) bergerak menuju ke restoran mamak yang berdekatan. Masing-masing dengan beg pengembaranya yang 'over-sized'.

Setiba di restoran, kami seakan diperhatikan. Seakan kami agak ganjil bagi mereka. Nida ditegur oleh salah seorang pengunjung restorang itu. "Kamu semua dari Singapore ke atau Brunei?"
"Oh tak. Kami dari KL je" kata Nida sambil tersenyum. Agak bongkak dalam hatinya sudah berkembang.

Kami seperti tourist??. Hahahaha. Ketawa besar kami.

Setelah selesai, kami menuju ke Perhentian Putra. Perjalanan kami akan mengambil masa 7 jam. Kali terakhir saya menaiki bas untuk tempoh yang lama iaitu ketika perjalanan dari Auckland ke Rotorua. Lama sangat rasanya.

Sepanjang perjalanan, kami semua terlena. Seingat saya, cuma saya dan Zita yang terjaga ketika bas kami berhenti rehat. Kami berdua turun dan menikmati late supper. Nida dan Misya tidur seperti baby.

Kami tiba di Kuala Terengganu seawal jam 6.00 pagi. Setelah freshen up, kami menuju ke jeti Shahbandar yang terletak berdekatan. Tidak perlu mengambil pengangkutan awam. Jalan kaki pun ok. Di sana, kami disambut oleh Am dan Weerza. Setelah bersarapan, kami pun bertemu dengan 'cikgu-cikgu' kami.

Saya rasa, saya tidak mahu berkongsi dengan lebih lagi. Banyak sangat rasanya pengalaman manis. Boleh dijadikan novel saya fikir. Gambar-gambar yang saya sudah upload di Facebook bakal menceritakan segalnya. Cukup saya katakan yang percutian kali ini paling menyeronokan. Banyak tempat juga rasanya telah dilawati. Tetapi ini yang terbaik. Betul kata orang, Malaysia punya segalanya. Lebih-lebih lagi bila pergi dengan kawan-kawan yang paling best.

Next - InsyaAllah, Kota Kinabalu.. dan mungkin kami akan merantau dengan lebih banyak lagi.

Sunday, May 17, 2009

May 2009 - Mimpi

So, where shall I begin this. Kalau lah saya tahu kat sini ada Wifi, dah lama saya paksa Naizam hantar laptop. Such a dearest housemate he is. Faham yang saya dah bosan tahap dewa di sini. Bila bersendirian di sini, dengan tiada teman untuk berbicara memang terasa meletihkan.

Di saat terasa seperti Malaikat Maut mahu menjemput, saya merasakan saya sudah bersedia. Bukan kerana saya fikirkan yang amal ibadat saya mencukupi. Tetapi, bila kita kehilangan semangat, kita seakan fikir itu jalan yang terbaik. Mudah bukan?

Berulang-kali saya dinasihati supaya belajar berkongsi segala yang terpendam di dalam hati. Tetapi, saya bukan manusia sebegitu. "Kau kena banyak bersabar. Kau kena terima segala takdir yang mendatang. Segala yang terjadi adalah suratan." Itulah kata-kata yang selalu didengari hampir setiap hari. Setiap saat saya cuba untuk menjadi lebih optimistik. Malangnya, jiwa saya sentiasa menolak.

Mudah untuk menasihati. Saya faham. Berulangkali saya memberi motivasi buat kawan-kawan. Berulangkali saya menjadi teman kepada mereka yang bermasalah. Tetapi, bila ianya menimpa diri sendiri, saya seakan hilang arah. Berat bahu yang memikul tidak siapa yang tahu. Saya biasa mengaburi sekeliling dengan sikap saya yang agak gila-gila. Hey...saya bisa membuat kawan-kawan mengilai ketawa. Tetapi didalam, hanya Allah yang tahu. Hanya di sini sahaja saya bisa meluahkan apa yang tersirat. Bukan belas untuk ditagihi. Itu sebabnya saya tidak mahu meluahkan kepada sesiapa. I hate it when people look me in the eyes with sorry in their mind. It's so pathetic!

Bila emosi tidak menentu, saya menjadi pemalas. Saya lupa bila kali terakhir saya menyapu bilik. Saya lupa bila kali terakhir saya tidur dengan nyenyak. Saya tidak seperti biasanya. Saya tidak endahkan tentang diri sendiri.

Ketika disini, kerap kali saya didatangi mimpi. Saya memeluk abah. Saya dibelai emak. Saya beriringan jalan dengan abang. Akhirnya, saya bertemu dengan seorang lelaki yang asing buat saya. Saya cuba untuk mengingati siapa gerangannya. Bila diingat-ingatkan semula, nyata dia adalah abang saya yang tidak pernah sempat saya bertemu sebelum ini. Indahnya mimpi ini.

Setiap kali didatangi mereka, saya amat bahagia sekali. Bukan sekali. Tetapi beberapa malam saya dilawati mereka. Jika boleh, saya tidak mahu tersedar lansung. Berulang-kali saya memberitahu mereka yang saya mahu ikut.

"Mak, bawalah Hairi bersama. Abah, Hairi rindukan abah sangat" Tetapi, mereka tidak mengendahkan. Diam seribu bahasa.

Malam tadi saya bermimpi lagi. Kali ini, rayuan demi rayuan saya tangisi. Saya mengharapkan agar ratapan saya dikasihani mereka. Ketika saya melutup merayu, saya lihat Ramdan dibelakang.

"Abang, Ramdan masih perlukan abang" tangis satu-satunya adik saya.

Mungkin ini rahmatNya. Saya sedar sekarang. Saya masih diperlukan. Saya lebih bersemangat kini...InsyaAllah.

Saturday, May 9, 2009

May 2009

Sejak kebelakangan ini, saya memang amat payah untuk berkongsi segala apa yang saya pendam. Di kala bersama teman, saya sedaya upaya cuba untuk berselindung. Ketika bersendirian, masa diluangkan termenung memikirkan segala apa yang saya lalui. Mengangankan apa yang saya idami. Kadang-kadang, jiwa terasa amat kosong. Sunyi.

"Tak nak ucap Selamat Hari Ibu ke kat mak?" dalam gurauan emak menelefon saya.
"Eh mak ni. Pernah ke kita sambut semua tu? Tapi takpe. Heri ucap Selamat Hari Ibu ye mak. Heri sayang emak. Sayang sangat-sangat" balas saya.

Minggu lepas, adik saya bernikah dengan pilihan hatinya. Malam sebelum dia bernikah, sesudah solat Maghrib, saya bacakan Yassin untuk emak dan abah. Sukar sekali saya hendak menghabiskan bacaan kali ini. Tidak selancar biasa. Air mata saya seakan sungai yang mengalir tanpa penghujungnya. Alangkah bahagianya jika mak dan abah masih ada. Mesti mereka bahagia menerima menantu baru. Pasti meriah kenduri kami

Hati saya amat berat untuk balik kampung meraikan perkahwinan adik saya. Berkali-kali saya melengahkan niat saya. Sehingga saya tidak hadir sewaktu adik saya bernikah. Saya tahu, Ramdan amat perlukan saya. Tapi, saya tidak berjaya mengawal emosi saya. Lalu, saya lalai menjalankan tanggungjawab saya sebagai abang. Setelah berjaya memujuk hati, saya gagahi diri untuk pulang ke kampung. Itu pun setelah sehari adik saya bernikah. Saya terus menuju ke Kuala Kangsar. Kenduri sebelah pihak lelaki dilansungkan di rumah Pak Andak saya.

Kenduri kami tidak semeriah mana. Sekadar menjemput saudara terdekat sahaja. Kasihan saya lihat adik saya seorang itu. Selama emak masih hidup, segala urusan dirinya dilakukan emak. Kini, dia tidak terurus. Sampaikan sewaktu bersanding, nampak macam diri dia tak siap. Sedih memikirkan nasib dia. Saya berharap, setelah berkahwin, dia akan belajar untuk berdikari. Belajar menjadi ketua keluarga yang baik.

"Abang nak kau belajar urus keluarga sendiri. Kalau boleh, abang nak kau jadi seperti abah. Kita sekarang ni tinggal berdua je. Kalau ada apa-apa masalah, bagitau abang"

Kini segalanya sudah selesai. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk Ramdan.