Wednesday, November 25, 2009

Aidil



Maksud Firman Allah SWT

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan berkorbanlah”
Al-Kauthar : 2


Tahun lalu, sewaktu emak masih ada, saya tidak pulang ke kampung untuk menyambut Aidil Adha bersamanya. Alasan saya, cukuplah saya sudah pulang ketika Aidil Fitri sebelumnya. Mungkin kerana saya beranggapan yang Aidil Adha tidaklah seistimewa Aidil Fitri. Salah saya kerana kurang penghayatan tentang pentingnya sambutan ini. Dan seperti biasa, emak bukan yang jenis suka complaint. Dia bukanlah yang kuat membebel. Beruntung betul Kak Ina punya mertua yang very understanding. Bertuah sungguh saya punya emak yang tidak banyak kerenah. Tetapi tahun ini, kesempatan untuk saya menyambutnya bersama emak tiada lagi.

Semalam, saya dihubungi oleh sahabat karib saya. "I don't care, you must come to my hometown for this Raya Haji. Emak nak buat Qurban. Dah lah Raya hari tu you memerap dalam bilik je" paksaan bunyinya. Untuk tidak menegangkan lagi keadaan, saya akur dan bersetuju untuk turut serta. Nyata, tahun ini Aidil Adha akan saya sambut di Nyalas, Jasin.

"Semua kawan kau sayang kat kau Rie. In fact aku pun sayang kat kau" pujuk kawan saya seorang lagi setelah saya mengadu tentang 'paksaan' dari kawan saya yang lagi satu itu. Betulkah apa yang dikatakanya. Atau, ia sekadar hanya kata-kata memujuk?

Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh sahabat-sahabat sebegitu. Percayalah. Dengarkan janji saya. "Jika kamu, sahabat-sahabatku menyayangiku, nescaya aku akan menyayangi kamu berlipat-ganda lagi. Kasih-sayang kalian tidak akan ku persiakan. Dan aku sanggup berkorban demi kalian"

Kepada semua, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Saya insan yang sentiasa kekurangan. Jika ada kesalahan yang saya lakukan, harap diampuni.

Sunday, November 22, 2009

Intake 24 Reunited




Agak berjanggut juga saya menanti David untuk sampai ke KL Sentral. Kali terakhir saya berjumpa dengannya kira-kira 16 tahun yang lalu. Terima kasih kepada Air Asia atas kelewatan David. Penerbangan dari Kuching lewat 30minit. Dengan keadaan trafik pada Jumaat lalu, di tambah dengan cuaca yang 'elok' sangat, saya yakin sahabat lama saya itu akan hanya tiba pada jam 7.30pm. Sepatutnya kami check in pukul 3.00pm

David masih dapat mengecam saya. Dari jauh dia sudah tersenyum sambil berjalan menuju ke arah saya yang sedang leka mendengar MP3 sambil merokok. Setelah masing-masing mengisi perut yang kosong di Burger King, kami terus menuju ke platform KTM Komuter untuk ke destinasi kami.

17 tahun yang lalu, sekumpulan remaja berumur 16 tahun berkumpul di stesen keretapi Seremban menunggu kenderaan rasmi kerajaan (lori askar 3 tan) untuk di bawa ke pusat temuduga. Mereka yang kebanyakannya datang dari kampung. Pertama kali berjauhan dari keluarga. Masing-masing dengan beg yang berat disamping tangan sebelah lagi mengepit sekeping envelope yang besar di ketiak. Dalam envelope itu, terisi X-Ray badan masing-masing.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban dianggarkan 1 jam. Saya malu dengan David. Saya rasakan tetamu ini tidak selesa. Koc komuter padat macam sardin di dalam tin. Setiba di Seremban, kami berdua tergamam dengan perubahan Seremban. Stesennya sudah tidak seperti dahulu. Nampak ketara perubahan. Semakin besar rasanya. Apatah lagi di luar sana kelihatan Seremban Parade megah menyambut kehadiran pengunjung. Perubahan yang saya kira amat pesat sehinggakan Fouzi yang sepatutnya menjemput kami di stesen keretapi, sesat!

Telefon bimbit saya tak henti-henti berdering. Masing-masing bertanya lokasi saya. Masing-masing bertanya bila kami akan sampai. Ada yang menawarkan diri untuk menjemput saya dan David, risaukan Fouzi yang tak muncul-muncul lagi.

Fouzi juga adalah kawan kami yang lama terpisah. Saya cuma berjaya menghubunginya beberapa bulan yang lalu. 3 sekawan ini akan bersama menuju ke tempat kami pertama kali dikumpulkan dahulu, Port Dickson. Di sana, ramai yang telah berkumpul menanti kehadiran kami.

Setelah mendaftar, saya tidak terus masuk ke bilik. Ramai yang sudah mendaftar petang itu, masih berkumpul dibawah Block A Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan. Mereka menantikan kami. Inilah saat-saat yang kami semua nantikan. Reunion AFATS Intake 24. 16 tahun kami semua terpisah.

Kali ini, kami kembali ke tempat asal. Kami adalah bekas perantis Tentera Darat. Kami adalah 'boy'. Masing-masing kegembiraan. Dalam masa yang sama, ada yang hampir menitiskan air mata kerana terlalu gembira kerana dapat bertemu, termasuk saya. Kami seakan adik-beradik yang baru dapat berjumpa setelah lama terpisah.

Ketika itu juga, tanpa memikirkan diri yang kepenatan, kami semua bersembang membicarakan tentang diri masing-masing disamping mengenang kisah-kisah lama sehingga ke jam 4.00 pagi. Nasib baik ada air teh terhidang. Kalau tidak, mahu rasanya tekak kering kerana kami semua bila dapat berjumpa, bercakap tak henti-henti. Masing-masing alpa. Masa itu nama-nama gelaran kami berkumandang semula. Ada yang dipanggil Kupang. Badang ada. Buaya ada. Penyu pun ada. Haish....

Bila dapat bertemu, kami suka berkongsi cerita tentang peristiwa lampau. Ada perkara yang diketawakan. Ada cerita yang kami tangisi. Ada sesetengah kisah yang saya sudah lupakan lansung. Hairan... Kenapa saya tidak dapat mengingati kisah itu, sedangkan ia berkait dengan diri saya secara terus. Faktor usia kah?

Bayangkan remaja yang berusia 16 tahun melalui getir hidup yang amat mencabar. "Belajar dan Berkhidmat". Itulah moto sekolah kami. Entah bila masanya 'Belajar'. Tapi yang pasti, umur sementah itu, kami sudah pun 'Berkhidmat'. Berkhidmat untuk sekolah. Berkhidmat untuk pelajar senior. Cabaran yang kami hadapi ketika itu, tidak sepatutnya dialami oleh seorang manusia yang berumur 16 tahun. Sepak terajang, penumbuk seakan menjadi perkara biasa. Jika tangan terseliuh, itu adalah biasa. Kalau kepala berdarah, itu adalah lumrah. Hari-hari biasa, hidup kami penuh dengan ketakutan. Celik saja mata, kami sudah takut. Seingat saya, jika pulang dari bercuti di kampung, jika ternampak papan tanda 'Tauhu Hak Mambau' perasaan takut sudah berputik. Apabila kelihatan bangunan Politeknik Port Dickson, saya sudah mula menggigil. Takut. Kami menderita. Sehinggakan rasa sakit ditampar, ditumbuk, diketuk sudah menjadi lali. Sakit sudah kami tidak rasai lagi. Badan seakan kebal. Otak sudah bebal. Kami sudah tidak menangis lagi. Tempuhi saja apa yang mendatang.

Semua itu menjadi sejarah. Setelah dewasa, kami sedari yang semua itu mengajar kami erti hidup. Kami belajar bagaimana pentingnya untuk berkerjasama. Kami belajar untuk mematuhi perintah. Kami dididik untuk terus menempuhi hidup yang getir.Kami kuat dari segi fizikal dan mental. Hubungan sesama kami semakin erat. Dan kami mempelajarinya ketika kami berumur 16 tahun. Penderitaan yang kami alami, tidak pernah lansung diketahui oleh ibu bapa kami. Apatah lagi oleh pegawai pemerintah sekolah kami.

Sekarang kami semua sudah dewasa. Masing-masing sudah punya karier masing-masing. Rata-ratanya sudah berjaya. Ada yang menjadi pensyarah di Institut Jurutera Tentera Darat (IJED). Ramai yang menjawat jawatan tinggi dalam Angkatan Tentera. Ramai juga yang sudah menjadi usahawan. Dan saya.....?

Sepanjang 2 hari 3 malam kami berkumpul, banyak aktiviti yang kami lakukan. Aktiviti sukaneka sudah menjadi perkara wajib. Bola tampar menjadi permainan tradisi kami tetap menjadi pilihan. Kami juga tidak lupa membuat tahlil buat sahabat kami yang telah pergi buat selamanya. Di samping itu, saya berkesempatan beramah mesra dengan keluarga sahabat-sahabat saya. Oppps, sepanjang pengetahuan saya, hanya tinggal 4 orang dari kami yang masih single.

Pertemuan kali ini saya rasakan sungguh singkat. Tidak puas rasanya walaupun setiap malam kami tidur lewat kerana berkumpul. Ingin sekali kami bertemu sebegini lagi. Meriah rasanya kalau dapat dihadiri oleh abang-abang kami (Intake 23). Seronok juga jika adik-adik kami (Intake 25) datang melawat. Lebih bermakna lagi rasanya kalau dihadiri oleh jurulatih-jurulatih kami (akademik dan ketenteraan). Mereka semua tidak kami lupakan. Semua itu penyeri hidup kami.

Ketika saat-saat berpisah, kami berjanji. Ini bukannya pertemuan terakhir. Kami akan sentiasa berhubung dari masa ke semasa. Kami berikrar akan berkumpul lagi. Kami ibarat adik beradik. Kami adalah 'boy'.


p/s jutaan penghargaan kepada yang menjadikan Reunion kali ini berjaya. Tidak dilupai penuntut IJED (ex-AFATS Intake 38) yang membantu jawatankuasa penganjur. Korang memang rajin.....










Thursday, November 19, 2009

Lama Menghilang........

Haisssh... sibuk sangat ke saya selama ni sehinggakan dah bersawang blog ni. Berkarat...keruh. Sunyi je walaupun hidup saya tidaklah sesunyi mana. Mungkin saya begitu teruja dengan kehidupan realiti. Mungkin saya malas untuk berkongsi dengan semua melalui sesawang blog saya ini. Ehek...kelakar memikirkan bila saya ini seumpama 'hangat-hangat tahi ayam' atau selalu saya sebut 'warm warm chicken shit'. Masa mula-mula mendaftar ke laman blog ini, waaah... hampir setiap hari saya updatekan tentang diri saya. Tentang apa yang saya rasa. Apa yang saya lalui. Lama kelamaan, hilang semua semangat itu. Tapi takpe. Saya akan sedikit demi sedikit cuba update dari masa ke semasa (janji lapuk saya).

Sepanjang 2009 (sebab 2010 bakal menjengah), banyak perkara yang saya lalui. Yang lepas itu tetap akan berlalu dan saya akan cuba bangkit untuk menempuh hidup yang mendatang. Skema bukan? Tapi, standard laa. Bukankah kita seharusnya berfikiran optimistik. Tidak salah jika menginginkan yang terbaik buat diri kita. Jika kita punya kekurangan, ada lagi insan yang lebih malang. Dan ada juga insan yang malang, tapi masih tak sedar yang dirinya itu malang. Ada juga manusia macam itu ye.

Selama 2009, saya juga bersyukur kerana didampingi oleh sahabat-sahabat yang amat saya sayangi. Mereka sentiasa berada bersama saya. Pelbagai peristiwa diharungi bersama. Kalau hendak dinamakan mereka satu-persatu, berjela rasanya susunan nama mereka nanti. Saya yakin, mereka tahu siapa mereka. Bila saya kata yang saya sayang, I really mean it.

20 Disember ini, saya dan rakan-rakan yang lain bersama lebih 3,000 wargakota menyertai Malakoff KL Race. Satu-satunya larian yang saya sertai tahun ini, berbanding yang lain sudah pun menyertai 2 ke 3 larian sebelum ini. Sihat tak kami? Bagi saya, penyertaan kali ini bukan apa. Hanya sekadar untuk berseronok dengan kawan-kawan. Aktiviti seperti ini memang amat menyeronokkan. Tidak perlu berbelanja besar semata-mata untuk keseronokan. Yang lebih menyeronokan, yuran pernyertaan kami di sponsor sepenuhnya oleh majikan kami. Jangan jelous ye.

Penutupan 2009 ini lagi grand ye. Kami semua akan menyambutnya di dasar lautan Sulawesi. Percutian di Sipadan dan Mabul memang tidak boleh dipersiakan. Siapa yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyelam di pulau yang tersenarai di antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan yang terbaik di muka dunia. Memang tak sabar rasanya. Rasanya macam nak packing baju sekarang juga. Hehehe.

Tapi nanti dulu... Besok merupakan hari yang paling istimewa. Persahabatan selama 17 tahun bersambung semula apabila hampir semua bekas penuntut AFATS Intake 24 berkumpul semula di Port Dickson, tempat mula-mula kami diketemukan. Tengoklah nanti apa yang akan terjadi. Masing-masing dengan sikap masing-masing. Yang pasti, kami semua sudah dewasa. Kami semua sudah matang. Kami bukan lagi berumur 16 tahun. Kami bukan lagi Putra. Yang pasti, banyak cerita untuk kami kongsi bersama bila dipertemukan nanti.

Datangnya 2010, tahun yang mungkin paling sibuk. Sekitar April, saya mungkin akan ke Bangkok (Nizam, pastikan nama saya ada sekali ye). Penghujung April, secara bersendirian pasti akan ke Bandung dan Jakarta. Jika berkesempatan, mahu jejakan kaki ke Jogjakarta. Ingin sekali rasanya kaki menjejak ke kawasan bersejarah itu. Penghujung Julai, bersama yang lain, akan mengembara ke benua kecil India. Ini juga pasti, kerana tiket sudah pun dibeli. Kami akan menjelajah dari Trivandrum menuju ke Kolkata. Perjalanan sejauh 2,880km ini semestinya akan dinikmati sepenuhnya. Akan kami bertandang dari satu daerah ke satu daerah. Dari satu negeri ke satu negeri.

Akhirannya, 2010 pasti ada suatu yang baik bakal menanti (optimistik lagi). Walaupun 2009 tidak seperti yang saya ingini sepenuhnya, saya pasrah. Acapkali saya bersyukur atas pemberianNya. Siapalah saya untuk menidakkan hukum Qada dan Qadar.