Thursday, July 9, 2009

July 2009 - Makin Aku Cinta


Minggu yang amat sibuk buat saya. Seperti hari biasa, tugas pejabat seharian saya 'terpaksa' penuhi. Dan saya amat menantikan hujung minggu. Saya begitu teruja setelah begitu lama menanti, saya berpeluang melihat diva pujaan menyanyi secara live. An Evening with Sharifah Aini. Saya akui, rama yang kurang senang dengan penyanyi yang penuh kontroversi ini. Hey, saya peduli apa. Yang penting, saya menggagumi bakat beliau yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana penyanyi pun. Itu pendapat peribadi saya. Kalau sesiapa yang berani menyangkal, silalah.

Persembahan Datuk Sharifah Aini kali ini tidak menghampakan. Begitu menghiburkan. Beliau seakan bertenaga mengalunkan setiap melodi lagu-lagu yang dipopularkan olehnya suatu ketika dahulu, disamping berkongsi rahsia sepanjang beliau bernafas di dalam industri ini. Mengasyikkan. Suaranya yang lemak, gemersik serta merdu mendamaikan. Bak kata salah seorang dari penonton yang sempat berkongsi pengalaman dengan saya."Suaranya tidak pernah berubah lansung". Teringat saya tentang seorang penyanyi muda dianggap diva oleh sesetengah peminatnya yang amat popular dengan suara ala soprano. Seingat saya, suaranya amat berbeda jika dibandingkan dulu dengan sekarang. Tetapi tidak bagi Datuk Sharifah Aini yang berura-ura untuk bersara pada 2011 nanti.

Itulah kelebihan Datuk Sharifah Aini. Penghibur sejati yang hidup punya kisah suka dan duka. Dan beliau tidak pernah malu untuk berkongsi dengan semua penonton pada malam itu. Dewan Perdana Felda pada malam itu banyak dihadiri oleh golongan muda. Tidak hairanlah jika beliau boleh dianggap sebagai penghibur sepanjang zaman.

Saya tiba dirumah pada pukul 2.30am. Agak keletihan. Tetapi, saya telah berjanji dengan bekas majikan saya untuk bersama-sama bergandingan dalam Estee Lauder Staff & Family Sale. Acara tahunan yang tidak pernah saya lepaskan setelah saya meninggalkan jawatan saya dahulu pada 2004.

Saya diarahkan agar melapor diri di Renaissance, Kuala Lumpur jam 4.30am. Maknanya, saya terpaksa berjaga sepanjang hari. Letih memang letih. Dengan bayaran yang akan saya terima, memang tidak berbaloi. Tetapi saya sering beranggap, keseronokan bertemu kawan-kawan lama tidak ada bandingannya. Apalah sangat dengan bayaran RM50 kan?

Setiba di lobi hotel, saya lihat ramai pengunjung sudah mula beratur. Hey..kami start pukul 8.00 pagi ye. Bukan pukul 4.00 pagi!! Begitulah setiap tahun. Ia seakan event yang ditunggu oleh semua peminat jenama barangan Estee Lauder & Family.

Siapa yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan pada harga yang teramat murah kan? Setelah selesai segalanya, saya sampai dirumah dan tidur sehingga keesokan paginya. Dan keletihan itu bersambung sehingga ke hari ini....

Saturday, July 4, 2009

July 2009 - Takdir

Kalaulah saya mempunyai kerjaya sebagai penulis, sudah tentu dapur tidak berasap berbulan-bulan lamanya. Kalaulah saya bekerja di mana-mana syarikat penerbitan, pasti telah lama saya menganggur. Itulah yang terjadi kepada blog saya. Agak lama ia terbiar.

Mengimbas kembali pada bulan-bulan yang lalu, pelbagai rentetan peristiwa berlaku. Baik ia terjadi kepada saya, mahupun teman-teman. Malah, pada bulan-bulan yang lalu, ramai yang agak teruja untuk meraikan Hari Ibu dan diikuti dengan Hari Bapa. Hem, saya rasa agak sensitif sendikit dengan kedua-dua hari yang istimewa ini.

Mengenang kembali pada tahun lalu, saya diperkenalkan dengan seorang sahabat yang bernama Lutfi. Saya difahamkan yang dia merupakan anak yatim-piatu dan tidak mempunyai adik beradik lansung. Dia adalah sebatang kara. Ketika itu, tidak terlintas untuk saya berfikir bagaimana kiranya jika ia terjadi kepada saya. Nah, ia telah pun terjadi. Kini, saya sudah pun menjadi sebatang kara. Saya tahu apa yang Lutfi rasa. Saya tahu, bagaimana hibanya jika diri tidak punya sesiapa. Tetapi, orang sekeliling yang tidak pernah mengalaminya, setentu tidak dapat merasai bagaimana sunyinya hidup.

Selama kita hidup, kita tidak sedar yang kita adalah insan yang ditanami dengan sifat yang penuh kasih-sayang. Kita juga tidak pernah sedar yang kita dipupuk punyai sikap penuh tanggung-jawab. Sehingga ia sebati menjadi darah daging kita. Dan apabila kita sudah tiada tempat untuk mencurahkan kasih sayang serta tanggung-jawab, kita seakan rasa suatu kekosongan dalam jiwa. "Jiwa Kacau" bak kata kawan-kawan saya.

Hakikat yang saya sedari, bila hidup tidak punya purpose, saya menjadi semakin fragile. Menjadi semakin vulnerable. Itu yang terjadi. Saya mudah dipermainkan. Mudah ditipu. Baik dalam perhubungan sesama sahabat, malah dalam cinta. Pernah sekali, saya rasa seakan berputus asa untuk terus hidup. Tetapi, saya syukuri dilahirkan dalam keluarga yang sentiasa berpegang teguh pada Islam. Kalau tidak, mungkin jasad saya ditemui mereput tanpa siapa pun sedari.

Saya cuba segala kekuatan untuk meneruskan sisa hidup saya. Biarkan mereka menipu. Biarkan mereka mempermainkan. Agar mereka bahagia dengan apa yang mereka lakukan. Agar mereka berpuas-hati dengan kejayaan mereka. Saya yakin, apa yang terjadi pada saya telah lama tertulis di Loh Mahfuz. Saya redha apa yang berlaku. Saya mensyukuri segala rahmatNya.