Saturday, January 31, 2009

Februari 2009 - Raikan Cinta


"And even if the sun refused to shine, even if romance ran out of rhyme. You would still have my heart until the end of time. You're all I need my love, my Valentine"

Baru-baru ini saya berpeluang berbicara bersama seorang sahabat baru. Ditanya, apakah saya mencari cinta? Soalan yang tiada jawapan di lubuk hari saya. Lantas, soalan sama saya ajukan padanya. "Kalau diturutkan hati, memang serik untuk mencari lagi. Tetapi, bila kesunyian dan bila memerlukan seseorang disisi, ia membuatkan saya terdetik untuk berteman. Memang sahabat merata, tetapi mereka punya komitmen yang lain. Jadi, kenapa perlu takut bercinta?"
Dalam tempoh beberapa hari lagi, pasti ada yang dapat melihat kuntuman mawar dijual merata. Hey, the day is coming. Ramai yang mengambil peluang untuk meraikan lantas meluahkan rasa kasih serta cinta pada yang tersayang. Secara peribadi, tidak perlu ditunggu hari itu sahaja untuk meluahkan perasaan anda. Jika punya yang tersayang, jangan ada perasaan bosan serta letih untuk menyatakan betapa hebatnya cinta kamu padanya. Kerana, pada saya, dalam cinta, tidak pernah ada rasa bosan walau sekelumit kuman pun.
Siapa yang tidak pernah bercinta? Siapa yang tidak pernah melihat cinta? Saya pernah melihat betapa dalamnya cinta Kak Ina pada arwah abang saya (Syam). Ketika jenazah terbaring di rumah menanti hari esok untuk disemadi, Kak Ina tetap tidur di sebelah abang sambil memeluknya. Dan sehingga kini, Kak Ina masih lagi bersendiri tanpa pengganti. Begitu hebatnya cinta Kak Ina pada abang. Tetapi mungkin tidak sehebat cinta ibu pada abah. Mungkin lagi dahsyat jika saya dapat berkongsi cerita pengorbanan abah pada ibu.
Teringat ketika cinta mula-mula berputik. Segalanya indah. Sanggup melakukan apa sahaja demi untuk yang tersayang. Berkorban untuk yang tersayang, saya kira. Ketika itu, terasa amat bersemangat untuk hidup. Seakan tidak sabar untuk menunggu hari esok. Lebih-lebih lagi jika ada date pada besoknya. Hey, kalau boleh, mahu saja bertemu setiap hari. Rindu sangat ni. Masuk pejabat sentiasa tersenyum. Waktu seakan pendek. Bil telefon pasti melambung naik gara-gara asyik bergayut setiap masa. Cinta membuat kita angau.
Pernah saya terbaca satu artikel mengenai perhubungan sesama manusia. Dalam perhubungan, perlu ada pengorbanan. Perlu ada kepercayaan. Perlu ada komunikasi. Tiga perkara ini merupakan elemen penting dalam sesuatu perjanjian hidup. Ia seharusnya sentiasa diaplikasi seakan air sungai yang mengalir tanpa henti. Biarkan ia mengalir. Jangan disekat.
Memang bila bercinta selalunya indah. Tetapi bagaimana pula yang sudah putus cinta? Atau baru yang putus cinta. Saya sendiri sudah berkali-kali mengalaminya. Seakan lali rasanya. Walaupun cinta tiada lagi, tetapi memori tetap menghantui. Ah, bila berkias dengan emosi, rasanya jiwa akan parah. Ada yang menderita lebih teruk. Ada yang sanggup terjun bangunan demi cinta. Begitu kuatnya kuasa cinta. Memang benar bila putus cinta, kita menderita sehingga merasakan hidup tidak bermakna. Jiwa kita seakan mati.
Takut untuk bercinta? Kepada mereka yang masih mencari, rasanya ramai yang sudah matang untuk berfikiran secara rasional. Cinta sentiasa ujud disekeliling kita. Terpulang kepada kita untuk mengambil kesempatan yang ada. Tetapi bukan mengambil kesempatan untuk mempersenda emosinya. Jangan permainkan cinta. Kan cinta itu punya kuasa yang tidak terduga? Takut-takut nanti, kita jua yang merana walaupun pada awalnya kita yang ingin dia merana. Dan, jika bercinta, terimalah seadanya. Love he/she unconditionally. Seharusnya kita berbangga dengan yang tersayang. Tidak ada seorang manusia pun perfect didunia ini. Seorang teman mengingatkan saya, "Tuhan amat sukakan keindahan, maka Dia menciptakan segalanya yang indah, cantik. Tiada satu pun yang buruk".
Masih takut untuk bercinta? Oh, saya tidak. Saya sentiasa percaya, setiap yang terjadi, ada hikmahnya. Dan saya tidak akan berhenti untuk mencari. Tetapi satu yang pasti, cinta padaNya sentiasa tersemat di hati.

Sunday, January 4, 2009

Januari 2009


Agak lama saya mendiamkan diri. Kesibukan awal tahun menyebabkan idea-idea agak terbatas. Maklumlah, mana nak kejar dateline. Mana nak kejar jemputan. Lebih-lebih lagi, kebelakangan ini saya agak keletihan. Mungkin faktor penuaan mula bermula. Nasib baik saya belum mengalami "Sindrom Amiza" (nama baru untuk mereka yang mengalami masalah Alzheimer)

Kuala Lumpur berubah wajah lagi. Kain rentang berwarna merah sudah mula berkibar. Tanglung mula digantung. Pusat membeli-belah rata-rata mula mendendangkan lagu-lagu yang berbeza. Tiada lagi alunan melodi Krismas. Ornaments Krismas sudah tidak lagi bergemerlapan seperti bulan lalu. Sesungguhnya, Malaysia sentiasa meriah dengan pelbagai perayaan. Bangga rasanya menjadi rakyat Malaysia. Cuti banyak.....keseronokan tidak pernah berhenti di sini. Di tepian jalan, limau mandarin dijual. Dan kali ini, saya nampak ada pertambahan. Peniaga pun turut menjual keropok udang dan kacang Menglembu. Kalau tidak percaya, cuba lihat sendiri di sekitar Pandan Cahaya. Ya, tidak lama lagi masyarakat Tionghua akan menyambut tahun baru.

Tahun Baru Cina seperti biasa akan disambut dengan meriah sekali, terutama di bandar-bandar utama. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tahun ini merupakan tahun lembu. Ini merupakan zodiak yang kedua dalam 12 zodiak Cina. Dikatakan, zodiak kali ini memerlukan setiap orang bekerja lebih keras dan perlu banyak bersabar. Seperti zodiak yang lepas, bezanya Tahun Lembu merupakan permulaan yang baru untuk setiap usaha kita. Walaupun ia agak perlahan, tetapi dengan kesabaran, pasti hasilnya amat lumayan.

Tertarik pula saya bila terbaca ramalan untuk diri saya pada tahun ini. Saya dilahirkan pada tahun arnab. Diramalkan, tahun ini akan memberikan kesenangan kepada diri saya setelah mengalami pelbagai kesulitan pada tahun-tahun yang lalu. Sebagai seorang Islam, saya memang ditegah untuk mempercayainya. Tetapi, ianya sekadar untuk menambahkan pengetahuan, lalu menarik perhatian saya untuk menyelidik dengan lebih lagi. Tidak dapat disangkal juga kerana kebelakangn ini, saya sudah mula merasa kebahagian serta keseronokan. Oh, bukan kerana saya ada kekasih hati ye. Jauh sekali untuk memulakan sebarang perhubungan. Maklum saja, kadar penceraian amat tinggi sejak kebelakangan ini. Malah, ada ura-ura di kalangan sahabat saya yang masih bujang, takut untuk berkahwin. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, saya membayangkan rumah-rumah kebajikan akan sesak. Takut juga saya memikirkannya.

Hmm...kalau bercakap pasal perhubungan, 10 muka surat pun belum tentu mencukupi. Nantikan saja edisi Valentine bulan hadapan. Sekadar untuk mengingati, berbelanjalah dengan bijak sewaktu musim perayaan. Keadaan ekonomi masih belum menunjukan sebarang perubahan. Untuk pulih, ia mungkin mengambil masa. Saya agak terkejut bila dikhabarkan bahawa pekerja perindustrian sudah lama merasa bahang kemelesetan ini. Mereka dipaksa mengambil cuti tanpa gaji. Ada yang bekerja hanya untuk tempoh 2 minggu dalam sebulan. Bayangkan betapa payahnya bagi yang punya komitmen. Apa yang saya boleh katakan, beringat sebelum terkena. Jangan sesekali alpa. Kita belum tentu lagi selamat.

Kepada sahabat-sahabat berbangsa Cina, saya ingin ucapkan Gong Xi Fa Cai. Agar kesejahteraan sesama kita berterusan.Tak sabar rasanya hendak makan limau mandarin banyak-banyak sehingga kembung perut.