Friday, December 25, 2009

Selamat Hari Natal



Kehangatan Hari Krismas telah lama dirasai di sini. Rasanya, kebanyakan pusat membeli-belah di Kuala Lumpur telah lama menggantung hiasan-hiasan Krismas yang penuh warna-warni.Kuala Lumpur dihiasi dengan indah sekali. Perayaan yang dahulu dianggap sebagai upacara keagamaan, kini menjadi suatu pesta keramaian. Itu sudah menjadi kebiasaan bagi kita di sini yang hidup dalam kelompok masyarakat majmuk. Tidak kira apa pegangan agama anda, setiap perayaan disambut bersama dengan penuh harmoni.

Keadaan di Kuala Lumpur pada malam sebelum Krismas begitu meriah. Jalan di Bukit Bintang sesak dengan manusia yang kegembiraan menyambut perayaan ini. Saya yang turut serta bersama teman pada mulanya agak takut dengan situasi ini. Mana tidaknya, ramai yang memegang penyembur serbuk di tangan mereka. Masing-masing begitu teruja menyembur sekelian yang lalu di hadapan mereka. Apa mereka ingat kami ini nyamuk? Apa mereka ingat kami ini lalat? Mahu saja rasanya maki mereka semua. Syukur, ini tidak berlaku. Saya dan teman terselamat dari menjadi mangsa semburan.

Sebenarnya, saya bukanlah orang yang suka bersesak sebegitu. Disebabkan saya sudah lama keluar seperti ini, maka saya pun bersetuju untuk bersama dengan kawan yang satu ini. Daripada terperuk di rumah sibuk dengan FarmVille, saya fikir, apa salahnya. kalau keluar sekali sekala. Kalau dulu ketika remaja, rasanya peluang untuk berpesta sebegini memang tidak pernah dilepaskan. Rasanya sudah hampir 10 tahun saya tidak keluar berasak macam ini. Jika dibanding dulu dan sekarang amat berbeza. Kalau dulu saya amat teruja keadaan seperti ini, tetapi sekarang tidak lansung. Dalam hati menjerit mahu pulang. Saya rindukan katil saya. Saya lebih selesa serta tenang jika berada di dalam bilik sendiri. Itu tandanya penuaan ye. It's time for me to take all the supplements religiously. Nasib baik ada seorang teman yang bijaksana dalam hal ini. Dia yang menyarankan saya mengambil pil EPO dan pil bawang putih. Oh..multivitamin yang saya ambil sekelian lama tetap diteruskan. Di mana agaknya dia waktu ini ye?

Saya akur yang saya sudah tidak betah untuk terus berada di Bukit Bintang malam itu. Akhirnya, saya dan teman-teman yang lain bersidai di gerai tom yam bersebelahan apartment saya. Rasanya ia lebih menenangkan sehingga kami tidak sedar yang kami berada di situ sehingga waktu Subuh menghampiri. Banyak isu yang diperbincangkan. Dan bertemu dengan kawan saya yang satu ini, saya merasakan diri ini terlalu kecil. Setiap kali duduk bersamanya, banyak perkara yang saya belajar. Betapa saya sangat mengkagumi dia. Betapa dia menyedarkan saya banyak perkara. Haishh..banyak yang perlu saya ubah demi kebaikan sendiri. Saya perlu berubah...



Wednesday, December 16, 2009

Salam Maal Hijrah


"Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam."

Bercakap pasal tahun baru ini, kebelakangan ini masa berlalu begitu pantas. Tahun lepas pada waktu yang sama, saya terpaksa berkurung di rumah hampir 2 minggu gara-gara sakit mata. Rasanya baru saja perkara itu terjadi. Pejam celik, dah setahun kisah itu berlalu.

Begitu cepatnya masa berlalu, sehingga tidak cukup rasanya tempoh buat saya untuk mencapai azam yang saya telah janji pada diri saya sendiri. Setelah diselidiki, rasanya tiada satu pun yang tercapai.

Apa pun, kesyukuran saya panjatkan buat Allah awj kerana setahun yang berlalu, saya dikurniai kesihatan yang baik. Hidup saya bertambah gembira dari sehari ke sehari. Ada kala mungkin saya terlepas kata menyesali atas nasib menimpa diri, tetapi setelah diselidiki, saya boleh dianggap bertuah jika dibandingkan dengan sesetengah orang disekeliling saya.

Disebabkan azam yang lalu tidak tercapai, saya mengambil keputusan untuk tidak menetapkan sebarang target untuk tahun ini. Saya fikir, ada baiknya dengan kehadiran hari yang mulia ini, saya berdoa agar perolehi kejayaan, kesihatan dan kebahagian buat diri saya dan teman-teman.


Sekadar untuk berkongsi dengan semua:

PERISTIWA PENTING DALAM MUHARAM

1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan 'Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Tuesday, December 8, 2009

Topeng?

Akhir-akhir ini saya rasa diri saya agak keletihan sentiasa. Entah di mana silapnya. Nak kata tidak mengambil supplement, ia seakan menjadi sarapan saya setiap hari.
Seharian di pejabat menjadi begitu bosan. Setelah hampir 3 tahun saya ditukarkan ke jabatan yang baru ini, saya rasa rasa sudah cukup buat saya. Akibat desakan hati, saya telah mengisi borang permohonan untuk ditukarkan ke jabatan baru. Selama hampir 3 tahun, saya akhirnya dapat melihat belajar mengenali seorang hamba Allah yang hidup penuh kepuraan. Bagaimana seorang manusia yang bertopengkan manusia tetapi punya hati sebusuk syaitan. Seorang yang tidak patut dipanggil manusia. Sesuai rasanya dipanggil binatang. Tetapi, keputusan saya untuk memohon pertukaran ini bukan disebabkan dia. Saya bukan seorang yang mudah mengalah kerana sikap sebegini. Politik pejabat tidak saya hairankan. Keputusan saya adalah kerana saya inginkan suatu kelainan. Hey perempuan....anda bukanlah lawan saya. Saya tidak perlu membanting tulang berbelas tahun kemudian baru dapat kenaikan pangkat. Saya tidak perlu membodek boss.
Permohonan saya bukan lagi muktamad. Saya perlu menghadiri temuduga terlebih dahulu, kemudian baru dapat diserapkan jika difikirkan sesuai. Saya amat berharap agar saya diberi peluang. Jika kali ini tidak berjaya, saya perlu memikirkan Plan B.....


Wednesday, December 2, 2009

Kesepian Itu Boleh Membunuh?

Sudah menjadi kebiasaan saya membaca surat khabar di dalam LRT. Hari ini satu artikel yang terpampang di muka depan satu akhbar menarik perhatian saya. Dikatakan bahawa 'kesepian' itu adalah suatu penyakit yang boleh membawa maut. Menurut laporan dari Universiti Chicago, ianya boleh merebak seumpama selsema.
Hasil kajian mendapati bahawa sebelum kehilangan kawan-kawan, 'penyepi' biasanya akan menyebarkan penyakit ini kepada orang yang berada disekelilingnya. Setelah dijangkiti, golongan ini tanpa disedari menjauhkan diri dari masyarakat dan seterusnya menjadi 'penyepi'.
Menurut laporan dari Universiti Chicago, memandangkan penyakit ini berunsurkan kepada emosi dan dikaitkan dengan penyakit jiwa, wanita akan lebih mudah 'dijangkiti' berbanding lelaki. Kaji selidik menunjukkan 'penyepi' ini biasanya mudah hilang kepercayaan kepada orang lain dan seterusnya memayahkan mereka untuk membentuk suatu hubungan yang baru.
Terfikir sejenak. Kajian ini mungkin benar dari segi teorinya. Terasa tempias dari artikel ini. Tetapi, jika kita sentiasa bersifat optimistik, saya yakin kita dengan sendirinya akan bisa merawati kesepian. Biar kita tidak punya keluarga. Biar kita tidak punya ibu bapa. Sebagai umat Islam, kita semestinya percaya kepada Qada dan Qadar. Segalanya sudah tertulis di Loh Mahfuz. Memang kesepian itu penyakit jiwa. Tiada ubat bisa menyembuhnya. Hanya kita sendiri yang mengubatinya.

Tuesday, December 1, 2009

Penang...



Biasanya hanya saya, Izwan dan Kak Mas saja yang akan buat aktiviti macam ni. Kali ini rombongan kami agak besar. Arill (AF7), Amar (Anak Wayang), Nana (PR Astro) dan Jeff turut serta. Inilah pertama kali kami bergandingan dalam lawatan kerja kami.

Perjalanan dari Nyalas ke Penang memang mencabar. Hujan yang lebat membataskan penglihatan saya. Kak Mas yang sedia menanti di Penang berkali-kali menelefon cuba mengetahui lokasi saya dan Izwan. Risau agaknya. Manakala Aril dan yang lain masih jauh berada di belakang kami. Perjalanan yang biasanya mengambil hanya 5 jam, menginjak ke 7 jam.

Setiba di Penang, bergegas kami check-in di Gurney Hotel. Mewah juga hotel ini. Kira mewah laa bagi saya yang sentiasa check-in di budget hotel saja bila bercuti. Walaupun lokasi tapak Pesta Pulau Pinang agak jauh dari Gurney, kami tiada pilihan memandangkan ianya pilihan penganjur.

Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pesta Pulau Pinang. Besar juga. Seingat saya, mungkin ianya berkali-kali ganda besar dari Pesta Port Dickson. Satu-satunya pesta persisiran pantai yang saya lawati. Itupun ketika saya berusia 16 tahun. Dan Pesta Port Dickson saya rasa sudah tidak wujud lagi sekarang.

Acara hiburan memang menjadi suatu kemestian di pesta sebegini. Dan kali ini, giliran sahabat saya untuk menghiburkan pengunjung Pesta Pulau Pinang bersama-sama Aril (AF7), Dek Na (entah AF yang ke berapa) dan Rina (adik kepada Rini AF7). Pengunjung pesta sini memang sporting sangat. Sangat sporting ye.

Sehabis show, kami semua beramai ingin menikmati nasi kandar yang memang menjadi sinonim dengan Penang. Saranan kawan kami, Restoran Kayu menjadi pilihan. Waiter di sana memang feeling hebat. Mengambil order tanpa menulis. Mungkin daya ingatan dia hebat. Saya fikir mungkin dia sehebat waiter di SS2. Alih-alih, teh panas yang saya order tak sampai-sampai walaupun dah 3 kali saya jerit kat dia. Bila part nak makan, Kak Mas cadangkan kami makan secara hidang. Saya yang decided nak jadi vegetarian (setelah tak sanggup lihat lembu kena korban), hanya boleh menjamah sayuran dan telur rebus sahaja. Nanti sure kentut saya berbau harum semerbak. So, sesiapa yang sekeliling saya, kena tahan je laa ye.

Apalah daya. Saya memang tak boleh nak enjoy any kind of food walau ke mana saya pergi. Seafood is a NO NO. Sekarang dah tak sanggup nak telan daging pula. Malangnya.

Sehabis 'santap' ramai-ramai, kami bergegas ke hotel. Setiba di hotel, Arill dan kawan-kawannya ingin berhibur di SS. Manakala golongan 'senior' termasuk saya merasakan nikmat berbaring di hotel tidak patut dipersiakan. Bukan selalu dapat tidur di katil dan quilt yang empuk. Berserta kedinginan air-cond yang boleh melenakan.

Tetapi setelah difikir berulang-kali, saya dan Izwan akhirnya akur akan keadaan. Mana boleh kami membazirkan masa dengan hanya lena didalam bilik. Penang punya segalanya. Kami hubungi Nan yang sedia menanti di Padang Kota Lama. Apa yang dibuatnya sorang-sorang di sana, Wallahualam. Bersama, 3 jejaka ini cruising sekeliling Penang menikmati keindahan malam. Izwan seumpama tourist guide. "Penang is my village Ri" katanya.

Keesokkannya, dengan langkah yang longlai, kami agak kemalasan untuk mandi dan bersiap untuk check-out. Satu malam di Penang memang tidak puas. Arill dan kawan-kawannya decided untuk extend lagi 1 hari. Penang memang mengasyikkan. Maka, Batu Feringgi menjadi destinasi seterus kami dimana Arill dan yang lain-lain akan bermalam di sana.

Awalnya, Izwan berjanji dengan saya untuk pulang pada hari Ahad kerana Isninnya saya perlu pulang. Awal lagi saya sudah memberi amaran kerana saya tahu yang Izwan biasanya kalau turun ke Penang, dia sudah tak nampak jalan balik. Kali ini, saya nampak dia pun agak keberatan untuk pulang ke KL. Chiss....

Parkroyal Penang menjadi pilihan bagi mereka yang akan stay. Manakala, saya berkeras untuk pulang juga malam itu. Setelah itu, kami beramai menuju ke Queensbay untuk last minute shopping. Saya pun tidak terkecuali. Sakan kami berbelanja walaupun barang-barang yang dibeli semuanya boleh didapati di KL. Sakan kan?

Setelah masing-masing kepenatan, perut mula meragam. Lapar katanya. Destinasi pilihan, tentulah Padang Kota Lama. Sepanjang perjalanan, saya memang kagum dengan seni bina bangunan sekitar Penang. Kalaulah Cello boleh bergabung seperti dahulu, tentu kami akan berhenti di setiap bangunan untuk bergambar. Kami semua memang cam-whore. "Sorry Kak Mas. Saya bukan lagi cam-whore. Tanpa Cello, nak posing pun dah tak reti"

Padang Kota Lama terkenal dengan Kankung Sotong. Pasembur amat sedap disini. Air kedondong asam memang popular. Dengan desiran angin persisiran pantai, hilang segala kepenatan. Sehinggakan berapa banyak kami makan pun tak disedari. Berjam-jam lepak disini amat mengasyikkan. Hasilnya, masing-masing perut kembong kekenyangan.

Tiba di pengakhiran, saya, Izwan dan Kak Mas menuju ke Jambatan Pulau Pinang untuk pulang ke KL. Belum pun sempat mengucapkan selamat tinggal Penang, kami dihubungi Arill memberitahu tentang kesesakan lebuhraya PLUS. Haissh...sejak bila pulak dia menjadi Info Trafik ni. hehehehehe...

Saya terus menghubungi Naizam (housemate saya) yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke KL juga. Kak Mas pun turut menghubungi kawan-kawan yang dirasakannya berada di lokasi yang sama. Naizam yang berjaya dihubungi menyumpah seranah. Beliau yang bertolak dari jam 4.00 petang masih lagi terkandas di Taiping. Jam menunjukkan pukul 9.00pm. 5 jam dia stuck!!!!

Tanpa berlengah, bergegas kami berpatah balik ke Penang. Jahat Penang ni. Dia tak kasi saya pulang....

Setelah check-in di Parkroyal Penang, Arill menyindir saya atas keputusan saya yang berkeras untuk pulang. Mau saja saya ketuk kepala dia. Sakit hati saya.

Kami beramai mengambil kesempatan untuk berpeleseran di sekitar Batu Feringgi. Night Marketnya seumpama Danau Kota. Macam-macam ada. Hard Rock Hotel nampak hebat. Tetapi cafenya agak ok ok saja. Tak crowded. Mungkin kerana besoknya hari bekerja.

Percutian sambil bekerja kali ini memang antara yang paling seronok. Patutlah Izwan jatuh cinta dengan Penang. Saya pun jatuh cinta dengan Penang. Penangites pun best!. Macam rasanya hendak pergi lagi sekali. Tetapi kali ini, pergi dengan niat untuk bercuti. Bukan diselangi dengan kerja (kerja sikit sikit ok kot).

Terima kasih kat Kak Ella Bakar dan Abg Shaik for your hospitality. Parkroyal Penang memang best.....

Wednesday, November 25, 2009

Aidil



Maksud Firman Allah SWT

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan berkorbanlah”
Al-Kauthar : 2


Tahun lalu, sewaktu emak masih ada, saya tidak pulang ke kampung untuk menyambut Aidil Adha bersamanya. Alasan saya, cukuplah saya sudah pulang ketika Aidil Fitri sebelumnya. Mungkin kerana saya beranggapan yang Aidil Adha tidaklah seistimewa Aidil Fitri. Salah saya kerana kurang penghayatan tentang pentingnya sambutan ini. Dan seperti biasa, emak bukan yang jenis suka complaint. Dia bukanlah yang kuat membebel. Beruntung betul Kak Ina punya mertua yang very understanding. Bertuah sungguh saya punya emak yang tidak banyak kerenah. Tetapi tahun ini, kesempatan untuk saya menyambutnya bersama emak tiada lagi.

Semalam, saya dihubungi oleh sahabat karib saya. "I don't care, you must come to my hometown for this Raya Haji. Emak nak buat Qurban. Dah lah Raya hari tu you memerap dalam bilik je" paksaan bunyinya. Untuk tidak menegangkan lagi keadaan, saya akur dan bersetuju untuk turut serta. Nyata, tahun ini Aidil Adha akan saya sambut di Nyalas, Jasin.

"Semua kawan kau sayang kat kau Rie. In fact aku pun sayang kat kau" pujuk kawan saya seorang lagi setelah saya mengadu tentang 'paksaan' dari kawan saya yang lagi satu itu. Betulkah apa yang dikatakanya. Atau, ia sekadar hanya kata-kata memujuk?

Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh sahabat-sahabat sebegitu. Percayalah. Dengarkan janji saya. "Jika kamu, sahabat-sahabatku menyayangiku, nescaya aku akan menyayangi kamu berlipat-ganda lagi. Kasih-sayang kalian tidak akan ku persiakan. Dan aku sanggup berkorban demi kalian"

Kepada semua, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Saya insan yang sentiasa kekurangan. Jika ada kesalahan yang saya lakukan, harap diampuni.

Sunday, November 22, 2009

Intake 24 Reunited




Agak berjanggut juga saya menanti David untuk sampai ke KL Sentral. Kali terakhir saya berjumpa dengannya kira-kira 16 tahun yang lalu. Terima kasih kepada Air Asia atas kelewatan David. Penerbangan dari Kuching lewat 30minit. Dengan keadaan trafik pada Jumaat lalu, di tambah dengan cuaca yang 'elok' sangat, saya yakin sahabat lama saya itu akan hanya tiba pada jam 7.30pm. Sepatutnya kami check in pukul 3.00pm

David masih dapat mengecam saya. Dari jauh dia sudah tersenyum sambil berjalan menuju ke arah saya yang sedang leka mendengar MP3 sambil merokok. Setelah masing-masing mengisi perut yang kosong di Burger King, kami terus menuju ke platform KTM Komuter untuk ke destinasi kami.

17 tahun yang lalu, sekumpulan remaja berumur 16 tahun berkumpul di stesen keretapi Seremban menunggu kenderaan rasmi kerajaan (lori askar 3 tan) untuk di bawa ke pusat temuduga. Mereka yang kebanyakannya datang dari kampung. Pertama kali berjauhan dari keluarga. Masing-masing dengan beg yang berat disamping tangan sebelah lagi mengepit sekeping envelope yang besar di ketiak. Dalam envelope itu, terisi X-Ray badan masing-masing.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban dianggarkan 1 jam. Saya malu dengan David. Saya rasakan tetamu ini tidak selesa. Koc komuter padat macam sardin di dalam tin. Setiba di Seremban, kami berdua tergamam dengan perubahan Seremban. Stesennya sudah tidak seperti dahulu. Nampak ketara perubahan. Semakin besar rasanya. Apatah lagi di luar sana kelihatan Seremban Parade megah menyambut kehadiran pengunjung. Perubahan yang saya kira amat pesat sehinggakan Fouzi yang sepatutnya menjemput kami di stesen keretapi, sesat!

Telefon bimbit saya tak henti-henti berdering. Masing-masing bertanya lokasi saya. Masing-masing bertanya bila kami akan sampai. Ada yang menawarkan diri untuk menjemput saya dan David, risaukan Fouzi yang tak muncul-muncul lagi.

Fouzi juga adalah kawan kami yang lama terpisah. Saya cuma berjaya menghubunginya beberapa bulan yang lalu. 3 sekawan ini akan bersama menuju ke tempat kami pertama kali dikumpulkan dahulu, Port Dickson. Di sana, ramai yang telah berkumpul menanti kehadiran kami.

Setelah mendaftar, saya tidak terus masuk ke bilik. Ramai yang sudah mendaftar petang itu, masih berkumpul dibawah Block A Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan. Mereka menantikan kami. Inilah saat-saat yang kami semua nantikan. Reunion AFATS Intake 24. 16 tahun kami semua terpisah.

Kali ini, kami kembali ke tempat asal. Kami adalah bekas perantis Tentera Darat. Kami adalah 'boy'. Masing-masing kegembiraan. Dalam masa yang sama, ada yang hampir menitiskan air mata kerana terlalu gembira kerana dapat bertemu, termasuk saya. Kami seakan adik-beradik yang baru dapat berjumpa setelah lama terpisah.

Ketika itu juga, tanpa memikirkan diri yang kepenatan, kami semua bersembang membicarakan tentang diri masing-masing disamping mengenang kisah-kisah lama sehingga ke jam 4.00 pagi. Nasib baik ada air teh terhidang. Kalau tidak, mahu rasanya tekak kering kerana kami semua bila dapat berjumpa, bercakap tak henti-henti. Masing-masing alpa. Masa itu nama-nama gelaran kami berkumandang semula. Ada yang dipanggil Kupang. Badang ada. Buaya ada. Penyu pun ada. Haish....

Bila dapat bertemu, kami suka berkongsi cerita tentang peristiwa lampau. Ada perkara yang diketawakan. Ada cerita yang kami tangisi. Ada sesetengah kisah yang saya sudah lupakan lansung. Hairan... Kenapa saya tidak dapat mengingati kisah itu, sedangkan ia berkait dengan diri saya secara terus. Faktor usia kah?

Bayangkan remaja yang berusia 16 tahun melalui getir hidup yang amat mencabar. "Belajar dan Berkhidmat". Itulah moto sekolah kami. Entah bila masanya 'Belajar'. Tapi yang pasti, umur sementah itu, kami sudah pun 'Berkhidmat'. Berkhidmat untuk sekolah. Berkhidmat untuk pelajar senior. Cabaran yang kami hadapi ketika itu, tidak sepatutnya dialami oleh seorang manusia yang berumur 16 tahun. Sepak terajang, penumbuk seakan menjadi perkara biasa. Jika tangan terseliuh, itu adalah biasa. Kalau kepala berdarah, itu adalah lumrah. Hari-hari biasa, hidup kami penuh dengan ketakutan. Celik saja mata, kami sudah takut. Seingat saya, jika pulang dari bercuti di kampung, jika ternampak papan tanda 'Tauhu Hak Mambau' perasaan takut sudah berputik. Apabila kelihatan bangunan Politeknik Port Dickson, saya sudah mula menggigil. Takut. Kami menderita. Sehinggakan rasa sakit ditampar, ditumbuk, diketuk sudah menjadi lali. Sakit sudah kami tidak rasai lagi. Badan seakan kebal. Otak sudah bebal. Kami sudah tidak menangis lagi. Tempuhi saja apa yang mendatang.

Semua itu menjadi sejarah. Setelah dewasa, kami sedari yang semua itu mengajar kami erti hidup. Kami belajar bagaimana pentingnya untuk berkerjasama. Kami belajar untuk mematuhi perintah. Kami dididik untuk terus menempuhi hidup yang getir.Kami kuat dari segi fizikal dan mental. Hubungan sesama kami semakin erat. Dan kami mempelajarinya ketika kami berumur 16 tahun. Penderitaan yang kami alami, tidak pernah lansung diketahui oleh ibu bapa kami. Apatah lagi oleh pegawai pemerintah sekolah kami.

Sekarang kami semua sudah dewasa. Masing-masing sudah punya karier masing-masing. Rata-ratanya sudah berjaya. Ada yang menjadi pensyarah di Institut Jurutera Tentera Darat (IJED). Ramai yang menjawat jawatan tinggi dalam Angkatan Tentera. Ramai juga yang sudah menjadi usahawan. Dan saya.....?

Sepanjang 2 hari 3 malam kami berkumpul, banyak aktiviti yang kami lakukan. Aktiviti sukaneka sudah menjadi perkara wajib. Bola tampar menjadi permainan tradisi kami tetap menjadi pilihan. Kami juga tidak lupa membuat tahlil buat sahabat kami yang telah pergi buat selamanya. Di samping itu, saya berkesempatan beramah mesra dengan keluarga sahabat-sahabat saya. Oppps, sepanjang pengetahuan saya, hanya tinggal 4 orang dari kami yang masih single.

Pertemuan kali ini saya rasakan sungguh singkat. Tidak puas rasanya walaupun setiap malam kami tidur lewat kerana berkumpul. Ingin sekali kami bertemu sebegini lagi. Meriah rasanya kalau dapat dihadiri oleh abang-abang kami (Intake 23). Seronok juga jika adik-adik kami (Intake 25) datang melawat. Lebih bermakna lagi rasanya kalau dihadiri oleh jurulatih-jurulatih kami (akademik dan ketenteraan). Mereka semua tidak kami lupakan. Semua itu penyeri hidup kami.

Ketika saat-saat berpisah, kami berjanji. Ini bukannya pertemuan terakhir. Kami akan sentiasa berhubung dari masa ke semasa. Kami berikrar akan berkumpul lagi. Kami ibarat adik beradik. Kami adalah 'boy'.


p/s jutaan penghargaan kepada yang menjadikan Reunion kali ini berjaya. Tidak dilupai penuntut IJED (ex-AFATS Intake 38) yang membantu jawatankuasa penganjur. Korang memang rajin.....