Friday, December 25, 2009

Selamat Hari Natal



Kehangatan Hari Krismas telah lama dirasai di sini. Rasanya, kebanyakan pusat membeli-belah di Kuala Lumpur telah lama menggantung hiasan-hiasan Krismas yang penuh warna-warni.Kuala Lumpur dihiasi dengan indah sekali. Perayaan yang dahulu dianggap sebagai upacara keagamaan, kini menjadi suatu pesta keramaian. Itu sudah menjadi kebiasaan bagi kita di sini yang hidup dalam kelompok masyarakat majmuk. Tidak kira apa pegangan agama anda, setiap perayaan disambut bersama dengan penuh harmoni.

Keadaan di Kuala Lumpur pada malam sebelum Krismas begitu meriah. Jalan di Bukit Bintang sesak dengan manusia yang kegembiraan menyambut perayaan ini. Saya yang turut serta bersama teman pada mulanya agak takut dengan situasi ini. Mana tidaknya, ramai yang memegang penyembur serbuk di tangan mereka. Masing-masing begitu teruja menyembur sekelian yang lalu di hadapan mereka. Apa mereka ingat kami ini nyamuk? Apa mereka ingat kami ini lalat? Mahu saja rasanya maki mereka semua. Syukur, ini tidak berlaku. Saya dan teman terselamat dari menjadi mangsa semburan.

Sebenarnya, saya bukanlah orang yang suka bersesak sebegitu. Disebabkan saya sudah lama keluar seperti ini, maka saya pun bersetuju untuk bersama dengan kawan yang satu ini. Daripada terperuk di rumah sibuk dengan FarmVille, saya fikir, apa salahnya. kalau keluar sekali sekala. Kalau dulu ketika remaja, rasanya peluang untuk berpesta sebegini memang tidak pernah dilepaskan. Rasanya sudah hampir 10 tahun saya tidak keluar berasak macam ini. Jika dibanding dulu dan sekarang amat berbeza. Kalau dulu saya amat teruja keadaan seperti ini, tetapi sekarang tidak lansung. Dalam hati menjerit mahu pulang. Saya rindukan katil saya. Saya lebih selesa serta tenang jika berada di dalam bilik sendiri. Itu tandanya penuaan ye. It's time for me to take all the supplements religiously. Nasib baik ada seorang teman yang bijaksana dalam hal ini. Dia yang menyarankan saya mengambil pil EPO dan pil bawang putih. Oh..multivitamin yang saya ambil sekelian lama tetap diteruskan. Di mana agaknya dia waktu ini ye?

Saya akur yang saya sudah tidak betah untuk terus berada di Bukit Bintang malam itu. Akhirnya, saya dan teman-teman yang lain bersidai di gerai tom yam bersebelahan apartment saya. Rasanya ia lebih menenangkan sehingga kami tidak sedar yang kami berada di situ sehingga waktu Subuh menghampiri. Banyak isu yang diperbincangkan. Dan bertemu dengan kawan saya yang satu ini, saya merasakan diri ini terlalu kecil. Setiap kali duduk bersamanya, banyak perkara yang saya belajar. Betapa saya sangat mengkagumi dia. Betapa dia menyedarkan saya banyak perkara. Haishh..banyak yang perlu saya ubah demi kebaikan sendiri. Saya perlu berubah...



1 comment:

jejaka anggun said...

merry xmas... aiyo krismas kat melaka last year pun camtuh. azab sgt!!!!