Sunday, November 22, 2009

Intake 24 Reunited




Agak berjanggut juga saya menanti David untuk sampai ke KL Sentral. Kali terakhir saya berjumpa dengannya kira-kira 16 tahun yang lalu. Terima kasih kepada Air Asia atas kelewatan David. Penerbangan dari Kuching lewat 30minit. Dengan keadaan trafik pada Jumaat lalu, di tambah dengan cuaca yang 'elok' sangat, saya yakin sahabat lama saya itu akan hanya tiba pada jam 7.30pm. Sepatutnya kami check in pukul 3.00pm

David masih dapat mengecam saya. Dari jauh dia sudah tersenyum sambil berjalan menuju ke arah saya yang sedang leka mendengar MP3 sambil merokok. Setelah masing-masing mengisi perut yang kosong di Burger King, kami terus menuju ke platform KTM Komuter untuk ke destinasi kami.

17 tahun yang lalu, sekumpulan remaja berumur 16 tahun berkumpul di stesen keretapi Seremban menunggu kenderaan rasmi kerajaan (lori askar 3 tan) untuk di bawa ke pusat temuduga. Mereka yang kebanyakannya datang dari kampung. Pertama kali berjauhan dari keluarga. Masing-masing dengan beg yang berat disamping tangan sebelah lagi mengepit sekeping envelope yang besar di ketiak. Dalam envelope itu, terisi X-Ray badan masing-masing.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban dianggarkan 1 jam. Saya malu dengan David. Saya rasakan tetamu ini tidak selesa. Koc komuter padat macam sardin di dalam tin. Setiba di Seremban, kami berdua tergamam dengan perubahan Seremban. Stesennya sudah tidak seperti dahulu. Nampak ketara perubahan. Semakin besar rasanya. Apatah lagi di luar sana kelihatan Seremban Parade megah menyambut kehadiran pengunjung. Perubahan yang saya kira amat pesat sehinggakan Fouzi yang sepatutnya menjemput kami di stesen keretapi, sesat!

Telefon bimbit saya tak henti-henti berdering. Masing-masing bertanya lokasi saya. Masing-masing bertanya bila kami akan sampai. Ada yang menawarkan diri untuk menjemput saya dan David, risaukan Fouzi yang tak muncul-muncul lagi.

Fouzi juga adalah kawan kami yang lama terpisah. Saya cuma berjaya menghubunginya beberapa bulan yang lalu. 3 sekawan ini akan bersama menuju ke tempat kami pertama kali dikumpulkan dahulu, Port Dickson. Di sana, ramai yang telah berkumpul menanti kehadiran kami.

Setelah mendaftar, saya tidak terus masuk ke bilik. Ramai yang sudah mendaftar petang itu, masih berkumpul dibawah Block A Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan. Mereka menantikan kami. Inilah saat-saat yang kami semua nantikan. Reunion AFATS Intake 24. 16 tahun kami semua terpisah.

Kali ini, kami kembali ke tempat asal. Kami adalah bekas perantis Tentera Darat. Kami adalah 'boy'. Masing-masing kegembiraan. Dalam masa yang sama, ada yang hampir menitiskan air mata kerana terlalu gembira kerana dapat bertemu, termasuk saya. Kami seakan adik-beradik yang baru dapat berjumpa setelah lama terpisah.

Ketika itu juga, tanpa memikirkan diri yang kepenatan, kami semua bersembang membicarakan tentang diri masing-masing disamping mengenang kisah-kisah lama sehingga ke jam 4.00 pagi. Nasib baik ada air teh terhidang. Kalau tidak, mahu rasanya tekak kering kerana kami semua bila dapat berjumpa, bercakap tak henti-henti. Masing-masing alpa. Masa itu nama-nama gelaran kami berkumandang semula. Ada yang dipanggil Kupang. Badang ada. Buaya ada. Penyu pun ada. Haish....

Bila dapat bertemu, kami suka berkongsi cerita tentang peristiwa lampau. Ada perkara yang diketawakan. Ada cerita yang kami tangisi. Ada sesetengah kisah yang saya sudah lupakan lansung. Hairan... Kenapa saya tidak dapat mengingati kisah itu, sedangkan ia berkait dengan diri saya secara terus. Faktor usia kah?

Bayangkan remaja yang berusia 16 tahun melalui getir hidup yang amat mencabar. "Belajar dan Berkhidmat". Itulah moto sekolah kami. Entah bila masanya 'Belajar'. Tapi yang pasti, umur sementah itu, kami sudah pun 'Berkhidmat'. Berkhidmat untuk sekolah. Berkhidmat untuk pelajar senior. Cabaran yang kami hadapi ketika itu, tidak sepatutnya dialami oleh seorang manusia yang berumur 16 tahun. Sepak terajang, penumbuk seakan menjadi perkara biasa. Jika tangan terseliuh, itu adalah biasa. Kalau kepala berdarah, itu adalah lumrah. Hari-hari biasa, hidup kami penuh dengan ketakutan. Celik saja mata, kami sudah takut. Seingat saya, jika pulang dari bercuti di kampung, jika ternampak papan tanda 'Tauhu Hak Mambau' perasaan takut sudah berputik. Apabila kelihatan bangunan Politeknik Port Dickson, saya sudah mula menggigil. Takut. Kami menderita. Sehinggakan rasa sakit ditampar, ditumbuk, diketuk sudah menjadi lali. Sakit sudah kami tidak rasai lagi. Badan seakan kebal. Otak sudah bebal. Kami sudah tidak menangis lagi. Tempuhi saja apa yang mendatang.

Semua itu menjadi sejarah. Setelah dewasa, kami sedari yang semua itu mengajar kami erti hidup. Kami belajar bagaimana pentingnya untuk berkerjasama. Kami belajar untuk mematuhi perintah. Kami dididik untuk terus menempuhi hidup yang getir.Kami kuat dari segi fizikal dan mental. Hubungan sesama kami semakin erat. Dan kami mempelajarinya ketika kami berumur 16 tahun. Penderitaan yang kami alami, tidak pernah lansung diketahui oleh ibu bapa kami. Apatah lagi oleh pegawai pemerintah sekolah kami.

Sekarang kami semua sudah dewasa. Masing-masing sudah punya karier masing-masing. Rata-ratanya sudah berjaya. Ada yang menjadi pensyarah di Institut Jurutera Tentera Darat (IJED). Ramai yang menjawat jawatan tinggi dalam Angkatan Tentera. Ramai juga yang sudah menjadi usahawan. Dan saya.....?

Sepanjang 2 hari 3 malam kami berkumpul, banyak aktiviti yang kami lakukan. Aktiviti sukaneka sudah menjadi perkara wajib. Bola tampar menjadi permainan tradisi kami tetap menjadi pilihan. Kami juga tidak lupa membuat tahlil buat sahabat kami yang telah pergi buat selamanya. Di samping itu, saya berkesempatan beramah mesra dengan keluarga sahabat-sahabat saya. Oppps, sepanjang pengetahuan saya, hanya tinggal 4 orang dari kami yang masih single.

Pertemuan kali ini saya rasakan sungguh singkat. Tidak puas rasanya walaupun setiap malam kami tidur lewat kerana berkumpul. Ingin sekali kami bertemu sebegini lagi. Meriah rasanya kalau dapat dihadiri oleh abang-abang kami (Intake 23). Seronok juga jika adik-adik kami (Intake 25) datang melawat. Lebih bermakna lagi rasanya kalau dihadiri oleh jurulatih-jurulatih kami (akademik dan ketenteraan). Mereka semua tidak kami lupakan. Semua itu penyeri hidup kami.

Ketika saat-saat berpisah, kami berjanji. Ini bukannya pertemuan terakhir. Kami akan sentiasa berhubung dari masa ke semasa. Kami berikrar akan berkumpul lagi. Kami ibarat adik beradik. Kami adalah 'boy'.


p/s jutaan penghargaan kepada yang menjadikan Reunion kali ini berjaya. Tidak dilupai penuntut IJED (ex-AFATS Intake 38) yang membantu jawatankuasa penganjur. Korang memang rajin.....










3 comments:

ashraf said...

reunion mmg best kalau LAMA TAK JUMPA.

blog ada peningkatan, mana lah dapat inspirasi letak clock, lagu, ngn background ni kaan ?

hahaha blog ni jgn lah pulak sepi kembali macam dolu dolu ;p

Warna-warna said...

letak clock? idea dari Louie (my fren)...
beackground? dari Louie gak....

Unknown said...

Bila lagi ada reunion utk AFATS intake 24?