Monday, April 20, 2009

Hilang



Sekian lama saya tidak menjengah satu-satunya blog ini. Memang payah untuk saya menitip luahan hati buat kali ini. Dugaan yang maha hebat telah saya tempuhi. Dan kali ini, saya merasakan amat sukar sekali untuk meneruskan hidup.

Pada zahirnya, saya kelihatan seperti biasa. Tetapi, batin saya amat tersiksa. Hanya Allah maha mengetahui. Saya bukan seorang yang pandai berkongsi emosi dengan sesiapa pun.

Kehilangan insan yang paling saya cintai, memang menyiksakan diri saya. Sukar untuk saya terima. Kadangkala, saya merasakan yang emak masih lagi hidup.

Panggilan pada 19 Februari 2009 jam 8.30pagi merupakan panggilan terakhir dari emak. Demam katanya. Berulang-kali dia meminta maaf kerana mengganggu saya pagi-pagi hari. "Tak mak... Mak tak ganggu Hairi pun. Sikit pun tak..." sangkal saya. Hati terdetik untuk pulang ke kampung pada hujung minggu. Khabaran saya sampaikan pada kawan-kawan pejabat yang saya ingin pulang ke kampung besoknya, InsyaAllah.

Saya bertekad untuk pulang pada 20 Februari 2009 setelah habis waktu bekerja. Mungkin lewat malam nya saya boleh berangkat pulang. Tetapi, jam 11.30 pagi, panggilan dari kampung saya terima. Adik saya, Ramdan memberitahu tentang perginya emak kami. Saya terdiam. Saya berlari ke 'Trading Room'. Saya terduduk di lantai seakan tidak percaya akan berita yang diterima.

Setelah mengambil masa untuk menenangkan diri, saya keluar lalu menyampaikan berita kepada kawan sepejabat saya. Saya harus pulang.

Di dalam lrt, saya menghubungi Pak Andak. Saya hubungi Kak An. Saya telefon Chor. Khabaran saya sampaikan. Sempat sebelum itu, saya menghantar email kepada kawan-kawan pejabat yang lain.

Telefon bimbit saya berdering-dering. Ada yang menghantar SMS. Mereka berkongsi kesedihan dengan saya. Marfiza menelefon saya teresak-esak. Zarina pun sama.

Sampai di rumah, rakan serumah saya, Naizam bersedia untuk menghantar saya pulang ke kampung. Setelah bersembahyang Jumaat, kami bertolak.

"Abang Hairi kat mana sekarang?" berulang kali Nora menelefon bertanyakan lokasi saya. Rimas untuk menjawab. Tapi saya faham, mereka semua cuma menunggu saya. Siapa lagi yang tinggal, hanya saya dan Ramdan saja anak emak.

Ramdan menghubungi saya lagi. "Abang, cepat laa balik. Ramdan tak tahu nak buat apa dah sekarang. Ramdan dah tak ada tempat untuk bergantung harap" tangis satu-satunya adik saya.

"Ramdan, sabar yer. Abang dalam perjalanan ni. Jangan fikir sangat. Abang kan masih ada" saya memujuk adik saya. Saya kena tunjuk padanya yang saya tabah. Saya tidak boleh lemah. Setelah bercakap dengan adik saya, saya menangis sepuas-puasnya. Betul kata Ramdan. Tiada lagi tempat kami untuk bergantung harap. Tiada lagi tempat kami untuk berkongsi kasih.

Saya tiba di Ipoh sebelum Asar. Setiba di sana, adik saya meluru lalu memeluk saya sekuat-kuatnya. Masuk ke rumah, saya lihat jasad emakterkujur, menanti untuk dimandikan. Saya terus masuk ke bilik. Terduduk. Air mata mengalir lagi. Sekelian sanak saudara datang memujuk saya. Kali terakhir saya berjumpa emak kira-kira 2 bulan yang lalu.

Setelah emak dikafankan, dia dihadapkan di ruang tamu untuk memberi kesempatan kepada sekelian buat penghormatan yang terakhir. Saya mengetuai upacara ini. Emak saya kucup berulang-kali. Saya tak mahu melepaskan dia waktu itu. "Emak, Hairi rindukan emak. Hairi minta maaf atas segala dosa-dosa Hairi pada emak. Halalkan makan dan minum Hairi. Emak, Hairi akan rindukan emak sampai bila-bila" bisik saya ketika mengucup emak saya buat kali terakhir.

Setelah jenazah disembahyangkan, kami sekeluarga menuju ke perkuburan yang ditetapkan oleh Ayah Chik saya. Pak Andak yang semakin uzur tidak dapat bersama nampaknya.

Di dalam liang lahad, saya mendukungi emak saya buat kali terakhir.Ketika kain kafan dibuka sedikit di muka, saya bersujud mengadap emak dan sekali lagi mencium dahi emak. Saya seakan tidak puas.

Sehingga hari ini, setiap maghrib, pasti saya terasa sayu. Saya terkenang ketika masih remaja, abah waktu ini pasti sudah mandi dan bersedia menunggu kami berjemaah. Emak pula akan menjeling kami kalau kami semua lewat bersiap untuk Maghrib.

Dan sehingga hari ini, saya masih meratap sedih atas kehilangan semua ahli keluarga saya.

Tiada lagi doa dari ibu untuk kami....

6 comments:

jejaka anggun said...

doa dari anak yang soleh pula yang ibu minta di sana.....

deep condolence again....

buyuiazliana said...

zir mata aku bergenang2 ni..memikir nasib sama yg aku alami...n sedih tu masih ade walaupon peristiwa aku tu nak masuk 2 thn dah..

ArChAmiTIeL said...

tabahkan hati..
doa yg terbaik utk keluarga awk.
saya sentaiasa ada utk mmbntu..

shah mikhael said...

sabar la.
saya kan masih ada.

Batdeaz ~ i'm keeping the other half said...

last skali aku menangis masa ko kasi tau mak ko dah tak der.. dan sat tadi aku menangis balik bila baca entry ko nih... u will miss her forever.. itu yg pasti. kita doakan agar mak ko di tempatkan di tempat yg terbaik untuknya.

pie said...

takziah untuk abg walaupun agak terlewat..

Opie.