Wednesday, December 24, 2008

Luluh........


Menjelmanya 2009. Kali ini ia datang membawa pelbagai emosi dalam hidup saya. Ah..biar lah. Sudah menjadi asam garam setiap khalifah di muka bumi ini.Suka duka, tangis ketawa menjadi lumrah. Tidakkah kita di beri perasaan? Tetapi, pandai kah kita meluahkan? Dapatkan kita merasakannya. Wajarkah kita mengalaminya?

Terfikir saya, apa yang telah terjadi selama 2008? Puas saya memerah otak. Pelbagai imej tampil di dalam otak saya. Seawal tahun ini, saya memang teramat sibuk. Penat tetapi amat gembira. Segalanya mudah. Di kalangan teman, rata-rata menjadi iri dengan saya. Apa tidaknya, hidup dalam dunia yang penuh 'bintang'.

Selama itu, saya menjelajah hampir ke seluruh pelusuk Semenanjung. Pernah suatu hari saya berada di Kuala Terengganu dan keesokannya gigih ke Melaka. Ada ketika, saya berada di Pulau Pinang dan keesokannya saya sudah pun siap bersarapan di Johor. Hari-hari biasa, saya tetap tekun di tingkat 13, Menara OCBC. Semua aktiviti luar hanya berlaku ketika hujung minggu.

Hotel sudah menjadi rumah kedua saya. Beg percuma dari 'Aramis' seakan mahu menjerit kerana selalu sarat dengan baju-baju dan kerap kali digunakan. KLIA sudah muak melihat wajah saya. Maaf, saya belum berpeluang lagi naik Air Asia. Berselisih bahu dengan Siti? Oh, itu sudah biasa. Bertepuk-tampar dengan Misha Omar? Sampai merah tangan ini. Mengutuk Aizat? Kembang-kempis hidungnya. Belum cukup lagi. Saya minum lewat malam bersama Jim Brickman dan Jeff Timmons (98 Degrees) di Concorde Kuala Lumpur. Berbual sehingga matahari sudah terbit. Siapa yang tidak mahu melepaskan peluang sebegini.

Tetapi, saya tidak pernah mahu expose dalam kehidupan ini terlampau. Pernah seketika, sewaktu rakaman Hari Raya Melodi, saya menyorok gara-gara takut muka terpampang di TV. Tapi, ada juga kawan pejabat yang perasan. Saya menolak pelawaan bekerja dengan artis-artis lain kerana apa yang saya lakukan selama ini sekadar memenuhi permintaan sahabat saya. Cukuplah ramai orang sudah mengenali saya. Takut hidup glamour ni. Walaupun dibayar, saya lakukan dengan keikhlasan tanpa mengharap sebarang bayaran. Kelakar juga, saya dibayar untuk menemani orang. Macam 'Social Escort' pula rasanya.

Meriah kan hidup saya? Tetapi dalam kegirangan itu, pernah terselit duka. Dan masih diri diiringi luka. Saya punya keinginan. Saya punya harapan. Tetapi, semua itu tinggal harapan. Ketika ini, saya terasa kehilangan yang amat sangat. Sukar untuk dimengertikan manusia. Dia kata dia menghargai. Tetapi jika hargai, perlukah menyakiti? Dia kata dia menyayangi. Kalau sayang, kenapa perlu ada perasaan pentingkan diri? Dia kata merindui. Kalau rindu, kenapa perlu menyepi diri? Saya sedar yang diri ini tidak dapat memenuhi segalanya. Saya serba kekurangan. Tetapi, perlukah saya diperlaku sebegini. Apa dosa saya sehingga rasa diri dizalimi? Kenapa sehingga kini tidur saya sering terganggu dengan mimpi-mimpinya? Kenapa rasa diri dikhianati? Apa kurangnya saya?

Bukan untuk saya meminta belas simpati. Kadangkala, perasaan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Bukan tiada teman untuk berbicara, tetapi berkongsi kesedihan diri dengan sahabat bukanlah satu kelebihan saya. Kebiasaan, suara ceria ini akan tetap didengari jika sesiapa menghubungi. Saya patut minta pada Pak Tam (Sinar FM) untuk jadi juruhebah. Kebiasaannya, teman-teman yang berkongsi kisah duka mereka bersama saya. Sewaktu gembira, bayang mereka hilang. Tak apa lah. Mungkin sudah tertulis saya sebegini. Jika ada masalah, datang pada Huzairi. Dia pasti mendengar. Dia pasti menghibur.

Apa yang terjadi, baik gembira, baik derita, pasti ada sebabnya. Kepada yang memperlakukan sebegini, baik kepada saya, atau kepada sekelian insan, saya hanya dapat katakan yang 'Hukum Karma' benar-benar terjadi. What comes around, goes around. Hidup umpama roda. Saya bukan mendendami. Tidak saya berniat untuk membalas atas segala 'jasa' yang diberi. Tidak perlu menyesal, tidak perlu memohon maaf. Mungkin zahir ini merelakan, tetapi batin yang tersiksa belum tentu dapat melupakan segala derita.

Harapan masih harapan. Saya berharap agar mereka semua bangun. Saya berharap agar mentari muncul setelah hujan mencurah dalam hati ini. Saya mengharap munculnya pelangi.

Kedatangan Tahun Hijrah 1430. Munculnya 2009. Azam baru ditanam dalam minda. Saya sudah senaraikan pelbagai. Sokongan kawan-kawan amat diperlukan. Saya menyokong apa jua yang anda semua azami. Sama-sama kita menyokong. Walaupun dunia dikhabarkan akan mengalami keperitan ekonomi yang lebih teruk, harap-harap poket kita tidak terik. Dan saya berharap impian sahabat baik saya untuk membuat tour di Eropah bakal menjadi kenyataan. Dengar khabarnya, Jim Brickman sudah merisik.

Seorang insan menasihati saya "Life is too short to wake up with regrets. Believe everything happens for a reason. If you get a second chance, grab it with both hands. If it changes your life, let it. Nobody said life would be easy, they just promised it would be worth it"


Selamat Tahun Baru.

p/s ketika ini, penulis berada di Ipoh dengan ahli keluarga bersempena perjumpaan Maal Hijrah 1430. Mendengar Matahariku dan Cinta Ini Membunuhku. Mengharap terjadinya keajaiban. Mungkin sayang ini terlalu tebal .Bodohkah saya?

2 comments:

Malay Rhapsody said...

harapan agar 1430 dan 2009 lebih sempurna....

ps; coincidentally my 31st bday falls on maal hijrah.... alhamdulillah

buyuiazliana said...

selamat thn baru maal hijrah 1430..harap semua yang terbaik utk diri kita..AMIN